SEREMBAN, 1 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan mencadangkan semula pengwujudan peraturan yang menghendaki parti politik mendedahkan senarai punca dana politik yang diterima mereka.
Perdana Menteri berkata cadangan peraturan itu yang bertujuan memastikan parti politik lebih telus sebelum ini telah dikemukakan namun ditolak DAP.
“Memang presiden parti boleh cari wang (dana) untuk parti. Saya boleh terangkan (punca dana UMNO) dengan syarat pembangkang pun terangkan punca kewangan mereka.
“DAP perlu terangkan, PKR perlu terangkan daripada mana mereka dapat (dana). Saya boleh terangkan kalau mereka terangkan…sama-sama kita terangkan barulah adil,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Paroi di sini hari ini.