LONDON: Britain menandatangani perjanjian berbilion pound dengan Arab Saudi untuk pesanan awal 48 jet pejuang Eurofighter Typhoon, kata pengeluar peralatan ketenteraan BAE Systems (BAE) hari ini.
Perjanjian lumayan itu diumumkan pada hari ketiga dan terakhir kunjungan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman ke Britain.
BAE dalam kenyataannya berkata, tempahan itu akan membantu Riyadh memodenkan tenteranya di bawah pelan ekonomi 'Visi 2030' Arab Saudi, namun tiada perincian kewangan diberi.
Jet pejuang Eurofighter dibangunkan sebuah konsortium Eropah, terdiri daripada syarikat Finmeccanica dari Itali dan pengeluar pesawat awam Perancis-Jerman, Airbus.
"Kerajaan United Kingdom (UK) sudah menandatangani Perjanjian Hasrat (MOI) dengan Pentadbiran Diraja Arab Saudi bagi memuktamadkan rundingan pembelian 48 jet pejuang Typhoon.
"Ini adalah langkah penting ke arah persetujuan kontrak untuk rakan penting kami. Kami komited menyokong Arab Saudi dalam memodenkan tenteranya serta membangunkan beberapa keupayaan penting industri bagi merealisasikan Visi 2030," kata BAE dalam kenyataan ringkas kepada Bursa Saham London.
Perkembangan itu berlaku selepas Qatar memeterai perjanjian membeli 24 jet Eurofighter Typhoon dengan nilai kira-kira AS$8 bilion (RM31.18 bilion) tahun lalu.
Pengumuman besar itu susulan rundingan sejak sekian lama dengan Arab Saudi yang sudah mempunyai 72 pesawat jenis sama dalam angkatan tenteranya. -AFP